Tuesday, August 31, 2010

KEPERCAYAAN-Raihan SitiNor’ain Bt Abd Muthalib

KEPERCAYAAN KAUM ETNIK SARAWAK
Agama dan kepercayaan merupakan pegangan dalam diri setiap manusia. Ia berlaku selaras dengan kepercayaan dan keyakinan dalam diri.
Agama pada lazimnya bermaksud kepercayaan kepada Tuhan atau sesuatu kuasa ghaib dan sakti seperti Dewa , dan juga amalan serta intuisi yang berkait rapat dengan kepercayaan tersebut. Kepercayaan secara umum bermaksud akuan akan benarnya terhadap sesuatu perkara. Keadaan ini hadir bersama kepastian terhadap perkara yang tersebut.
Agama dan kepercayaan merupakan dua perkara yang berkait sangat rapat. Namun, agama mempunyai makna yang lebih luas, yakni merujuk kepada satu sistem kepercayaan yang kohensif dan kepercayaan ini mengenai aspek ketuhanan.
KEPERCAYAAN IBAN
Dalam Kepercayaan Iban, mereka berpegang kepada adat yang diwarisi turun temurun dan ditulis didalam 'Papan Turai' oleh 'Tuai raban bansa' atau Chief Paramount dengan berpandukan nasihat 'Beliau' dan 'Lemambang'. Contohnya apabila hendak membuka penempatan dan mendirikan rumah, kawasan tanah yang hendak didirikan rumah tersebut hendaklah disemak terlebih dahulu. Mereka juga percaya pada petanda-petanda lain seperti bunyi burung ketupung dan burung beragai. Bunyi yang dikeluarkan oleh binatang-binatang ini adalah petunjuk dan alamat untuk menentukan kesesuaian tapak. Semua petanda akan ditafsirkan oleh 'Beliau' atau 'Manang' bagi mematuhi adat supaya tidak mendatangkan malapetaka.
Mimpi merupakan salah satu sumber alamat tetang sesuatu yang bakal terjadi di masa akan datang dan diterjemah oleh Beliau dan Manang. Bagi menghindar alamat yang boleh mendatangkan malapetaka, biasanya upacara 'Ngintu Burung' dan 'belian' akan dijalankan mengikut 'Adat' yang dirujuk kepada Chief Paramount
KEPERCAYAAN DAYAK SELAKO
Alam roh atau dunia roh merupakan kepercayaan yang rapat dengan orang Dayak Selako. Merujuk pendapat ini yang bersumberkan daripada asal- usul manusia semula jadi, alam roh dihuni oleh para roh iaitu sesuatu yang bukan manusia tetapi diyakini ada di sekitar kehidupan Dayak Selako. Roh ini biasa dikenali juga sebagai makhluk halus yang tinggal di langit, di bumi, di air, dan sebagainya yang memunyai tugas masing-masing. Mereka hidup di alam yang tidak dapat dilihat, namun mereka mempunyai keperluan yang sama dengan manusia. Hubung kait kehidupan manusia dengan roh dalam konteks kepercayaan tradisional terjalin rapat. Jalinan yang rapat inilah yang oleh etnik Dayak Selako diyakini sebagai dunia Ilmu Magis (bandingkan, Madrah, 1997: 2-4). Hal ini juga selaras dengan yang dikatakan oleh Clark Chilson and Peter Knecht (2002: 1) bahwa”... as repressive, ideologies and political sistems started to dissolve, many ethnic groups in Asia and elsewhere began to reflect on their distinctive cultural proparties in order to reconnect themselves with their tradition and their cultural roots. This led to a new appretiation and revival of folklore in various fields such us oral traditions, music, and religion.”
Masyarakat etnik Dayak Selako percaya bahawa kepatuhan dan kesetiaan manusia terhadap roh akan mendatangkan berkah dan mendapatkan imbalan dalam berbagai bentuk daripada para roh. Namun jika sebaliknya akan terjadi kemurkaan roh seperti menimbulkan kemalangan atau bahaya. Oleh sebab itu, manusia berusaha untuk dapat berkomunikasi dengan roh-roh tersebut melalui suatu ilmu, yang sering kali tidak dapat diterima oleh akal manusia.
Ilmu magis ini dapat diperolehi dengan beberapa cara seperti betapa (bertapa), mimpi, rajaki (keberuntungan), baguru (belajar) dan ilmu magis warisan sejak lahir. Ilmu Magis ini dapat dibahagi kedalam dua jenis iaitu : ilmu magis panas dan ilmu magis dingin. Ilmu magis panas bermakna bahwa ilmu ini dapat digunakan untuk mencelakakan orang lain (membunuh orang). Racun, dawak, dan polong termasuk dalam kumpulan ini, sedangkan ilmu magis dingin bermakna ilmu magis untuk antisipasi, menangkal atau untuk mengubati akibat dari ilmu magis panas. Misalnya azimat dan mantera.
Di Kecamatan Sajingan Besar, kedua jenis ilmu magis ini boleh dijumpai tetapi bilangan pemiliknya semakin berkurang kerana usia lanjut dan pengaruh agama Kristian. Di Kampung Batu Itapm, misalnya, masih ada beberapa orang yang memiliki racun. Keberadaan orang yang memiliki racun di kampung tersebut sangat dikenali di kampung Kecamatan ini. Penulis selalu diingatkan ketika berkunjung ke kampung tersebut jangan sembarangan minum atau makan. Di Kampung Sasak juga dijumpai 14 orang yang memiliki azimat dan kemampuan membaca mantra serta ada pula dua orang yang memiliki racun di kampong tersebut.
Secara tradisional, orang Dayak Selako percaya kepada Tuhan yang mereka sebut sebagai Jubata, ada juga yang menyebutnya Dervata (Roth, 1968: 7). Gould (1909: 38) mengatakan, "Dewata is the Land Dayak name of a God from Sanskrit word dewata divinity, deity, gods." Seterusnya Roth (1968: 216) menulis, "we may recall the fact that Land Dayaks have a kind of Hindu Trimurti, viz-Tapa or Yang, the Preserver (Vishnu or Dewa-dewa of Hindus), Jirong-Brama, the creator (Brahma of the Hindus), Triyuh-Kamang, the destroyer (Shiva of the Hindus)



KEPERCAYAAN KAYAN
Menurut etnik Kayan, mereka memandang berat pada adat kepercayaan yang datang dari nenek moyang terdahulu. Kepercayaan yang dipegang harus dipatuhi dalam kehidupan seharian. Jika tidak, akan ditimpa malapetaka atau sumpahan. Misalnya tidak boleh ketawakan katak kerana dikuatiri ribut petir melanda. Katak dikatakan sinonim dengan hujan. Selain itu, bermain sembunyi- sembunyi selepas senja amat dilarang kerana dipercayai akan disembunyikan oleh hantu atau roh semangat jahat. Kebiasaannya, pantang larang ini ditujukan kepada kanak-kanak. Jika dilihat dari sudut sisi yang lain, pantang larang ini terdapat juga kebaikannya kerana ia adalah untuk menjaga keselamatan kanak-kanak daripada ditimpa sesuatu perkara tidak baik. Dalam Islam misalnya, waktu senja merupakan antara masa berkeliarannya iblis atau syaitan. Jadi amat tidak elok sekiranya dibiarkan kanak-kanak berkeliaran di luar rumah. Etnik Kayan turut mempercayai pantang larang melangkah kaki orang tua atau orang dewasa. Keadaan ini dipercayai akan terkena tulah. Sekiranya itu yang berlaku, orang tua atau orang dewasa tersebut harus segera meludah ke arah orang yang melangkah bagi mengelakkan terkena tulah. Pantang larang tidak boleh menunding jari telunjuk ke arah bulan atau matahari amat digeruni oleh masyarakat etnik Kayan. Sekiranya terdapat mana-mana masyarakat yang berbuat demikian, jari mereka akan bengkok.
Kepercayaan lahir dalam satu komuniti masyarakat berdasarkan keadaan jiwa yang berkaitan dengan sikap berkedudukan-memihak (propositional) kerana ia melibatkan penekanan seseorang mengenai sesuatu kebenaran. Melalui kepercayaan yang dipegang, ia mampu menyatukan masyarakat di bawah satu pegangan yang sama. Kebiasaannya, pantang larang yang diamalkan bertujuan menjaga keharmonian hidup sesuatu komuniti. Pantang larang wujud apabila berlaku perhubungan dengan alam sekeliling sehingga membawa kepada kepercayaan.

No comments:

Post a Comment